Banjir kedua berlaku pada 12 Januari ketika orang ramai mula berpindah balik ke rumah selepas banjir pertama yang lalu. Seramai 109,831 orang dari 24,765 keluarga telah berpindah ke 344 pusat pemindahan banjir yang telah dibuka semula. Banjir kali ini lebih serius dari banjir pertama sehingga terdapat khabar angin darurat telah diisytiharkan di Johor, namun ia tidak benar. Dua pusat pemindahan turut dinaiki air dan 1,793 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke tempat lain.
Di Melaka, 3,193 orang dari 691 keluarga dari Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin terpaksa berpindah. Sejumlah 35 pusat pemindahan telah dibuka. Banjir ini merupakan paling teruk di daerah ini sejak 15 tahun lalu.
Di Pahang, lebih 3,000 orang dipindahkan di beberapa kawasan di Rompin, terutamanya di Bandar Tun Razak. Lebih 6,000 penduduk, termasuk di sembilan kawasan Felda Selancar, terkandas akibat dua jambatan yang rosak teruk di kawasan terbabit.
Di Negeri Sembilan, kawasan yang terbabit ialah Gemas dan Gemencheh. Sejumlah 80 orang telah dipindahkan.
No comments:
Post a Comment